Bapa kecewa dua anak dicubit guru hingga lebam
SRI AMAN: Seorang bapa melahirkan rasa kecewa dan terkilan berhubung sikap seorang guru di sebuah sekolah menengah dalam bandar ini yang bertindak mencubit kedua-dua anaknya yang menuntut di sekolah itu sehingga meninggalkan kesan lebam kemerahan.Ayah kepada pelajar itu mendakwa kejadian itu berlaku pada 9 Mac dan disedari oleh isterinya semasa waktu sesi rehat di sekolah menengah terbabit.
Menurutnya, dua anaknya itu pelajar tingkatan satu di sekolah berkenaan diperlakukan begitu kerana didakwa tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru mereka walhal mereka berada di kelas pemulihan ketika guru terbabit mengeluarkan arahan berhubung kerja rumah itu.
Berikutan itu guru terbabit mencubit bahagian dada anak lelakinya itu manakala anak perempuannya pula dicubit di bahagian puting susu, katanya.
“Cubitan itu ia meninggalkan kesan merah dan lebam akibat tindakan guru itu dan persoalannya di sini kenapa guru itu bertindak menghukum sedemikian rupa terhadap dua anaknya itu,” kata ayah kepada dua pelajar itu kepada Utusan Borneo, di sini semalam.
Lanjutan daripada itu, ibu kepada dua anak itu telah membuat laporan di Balai Polis Sri Aman, bagaimanapun menarik semula laporan polis terbabit atas dasar kompromi.
“Setelah jernih perkara itu maka saya dan isteri saya telah berkunjung ke Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman dengan tujuan untuk membuat laporan berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut.
Tetapi setelah laporan dibuat berhubung insiden ini, guru terbabit kemudiannya bertindak memulaukan pembelajaran anak-anak saya termasuk seorang lagi yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini,’ jelasnya dengan nada kesal.
Di samping itu lebih mengecewakan lagi guru itu langsung tidak menemuinya serta isteri untuk meminta maaf berhubung insiden itu, katanya.
Maka perkara ini amat dikesali kerana ia langsung tidak mencerminkan sifat mulia yang perlu ada dalam diri seorang guru, katanya.
March 17, 2010, Wednesday- Utusan Sarawak
Tiada ulasan: