Kini Semua Boleh Ke Menara Gading

|

Budak ini pun akan masuk universiti
Zaman orang ramai mengeluh kerana kekurangan peluang untuk meneruskan pengajian tinggi kini hanya tinggal kenangan.

Keluhan lazim yang kita dengar daripada mereka yang gagal menjejakkan kaki ke menara gading ialah kurangnya sumber pembiayaan, masa dan kelayakan.

Tetapi hari ini Universiti Terbuka Malaysia (OUM) mengatasi segala halangan ini dengan memperkenal "The Four Flexes", membolehkan sesiapa sahaja yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Melalui OUM sesiapa sahaja boleh mendapatkan segulung ijazah mengikut tempoh masa yang sesuai dengan keperluan mereka, menggunakan kaedah pilihan mereka sendiri untuk pembelajaran jarak jauh dan juga membayar yuran secara ansuran. Dan itu pun tanpa mengira sama ada seseorang itu hanya mempunyai sijil SRP sekali pun.

Repin Ibrahim, naib presiden Pembangunan Perniagaan dan Pengurusan Sumber Manusia bercakap kepada Bernama mengenai usaha OUM untuk memenuhi erti kata slogannya, "Universiti bagi Semua" (The University For All).

KEMASUKAN FLEKSIBEL

Mahu melangkah ke Menara Gading, tetapi tercicir sebelum sempat menduduki SPM? Tiada masalah!

Repin berkata universiti ini memperkenal satu dasar yang memungkinkan mereka dengan kelayakan hanya SRP, PMR, ataupun LCE (Lower Certificate of Education) untuk memperoleh ijazah sarjana muda atau sarjana.

Dasar Kemasukan Fleksibel, yang diluluskan Majlis Kebangsaan Pendidikan Tinggi, menyediakan peluang bagi mereka dengan pengalaman kerja yang berkaitan untuk menimba ilmu di mana mereka tidak boleh berbuat demikian sebelum ini melalui saluran biasa. "Bagi ijazah sarjana muda, selagi anda berusia 21 tahun atau lebih, mempunyai pengalaman kerja, anda boleh tampil untuk menjalani ujian pernilaian," kata Repin sambill menjelaskan bahawa ujian itu lazimnya membabitkan mata pelajaran bahasa Inggeris dan Matematik pada tahap Tingkatan 5.

Sementara itu, mereka yang mahu memohon bagi program ijazah lanjutan (pasca sarjana muda) perlulah berusia sekurang-kurangnya 35 tahun dan memiliki sekurang-kurangnya diploma, STPM ataupun kelayakan yang setara.

MOD BAYARAN YURAN FLEKSIBEL

Apabila timbul khabar yang OUM membenarkan penuntutnya membayar yuran mereka secara ansuran, ramai mendapati tawaran ini sesuatu yang sukar untuk dilepaskan.

"Selepas sahaja timbul khabar yang kami menawarkan mod bayaran fleksibel, ramai yang memanggil kami untuk mengesahkan tawaran ini," kata Repin.

"Ada yang memanggil kami untuk menghitung ansuran bulanan bagi kursus yang mereka minati, dan selepas membayar yuran pendaftaran RM300 ansuran bulanan yang perlu dibayar adalah lebih kurang RM360 sebulan bagi kursus ijazah empat tahun."

Tiada bayaran faedah dikenakan bagi bayaran ansuran. Selain itu, diskaun sebanyak 10 peratus diberi selepas yuran pengajian dibayar sepenuhnya.

"Ia sebahagian daripada program CSR (tanggungjawab korporat sosial) kami dengan memastikan yuran kami kekal serendah yang mungkin, dan kami dapat melakukannya kerana bilangan pengambilan kami yang besar," kata Repin.

Tetapi sumbangan CSR paling hebat ialah diskaun 75 peratus bagi warga emas dan golongan istimewa.

"Ramai yang tidak sedar akan kadar istimewa bagi kumpulan-kumpulan ini, rugi sekali," katanya.

Pengambilan sulung OUM ialah seramai 753 orang pada 2001. Hari ini terdapat lebih 90,000 penuntut dalam pangkalan data OUM dengan 37,000 daripada mereka merupakan penuntut aktif.

KAEDAH PEMBELAJARAN FLEKSIBEL

Sementara OUM dikenali kerana pembelajaran jarak jauh dan online, kaedah pembelajaran yang ditawarkan kepada penuntut sebenarnya lebih luas dan pelbagai. Kaedah ini yang terdiri daripada pembelajaran diuruskan sendiri, pembelajaran online dan interaksi bersemuka, sekarang ini dirujuk sebagai "pembelajaran gabungan".

Menurut Repin antara kaedah pembelajaran yang lebih inovatif ialah melalui iRadio yang merupakan stesen radio online universiti itu yang boleh dicapai di seluruh dunia menerusi portal OUM.

Sebanyak tujuh puluh peratus daripada program yang disiarkan melalui stesen ini ialah berkaitan akademik. Untuk mengekalkan minat pendengar, baki 30 peratus dikhususkan bagi hiburan.

"Kami mengadakan perbincangan subjek serta temu bual bersama pakar-pakar dalam bidang berkaitan semasa siaran langsung, yang mengambil masa dari awal pagi hingga 6 petang.

"Oleh kerana kami faham yang para penuntut kami sibuk dengan tugas, program dan temu bual juga diarkib secara online supaya para penuntut boleh memuat turun dan mendengarnya pada waktu sesuai jika tidak dapat mengikutinya pada waktu siaran asal," kata beliau.

Para penuntut juga dapat menghadiri kelas melalui persidangan video, strim audio atau video, tidak kira di mana sahaja mereka berada. Selain itu, universiti ini juga sedang mengusahakan pembelajaran mudah alih, platform untuk membolehkan penuntut belajar atau menerima tugasan atau tutorial melalui telefon mudah alih.

Bagaimanapun bahagian penting bagi pembelajaran yang diuruskan sendiri ialah modul cetak. Repin berkata OUM membangunkan modulnya sendiri berdasarkan kepada buku teks terbaik dan terbaru yang terdapat di dunia. Dalam melakukan ini, modul-modul ini sentiasa dikemas kini supaya maklumat yang disediakan adalah yang terkini.

Bagaimanapun, katanya, ada penuntut masih memilih untuk berinteraksi bersemuka dengan pengajar mereka.

"Bagi mereka yang lebih suka pembelajaran bersemuka, kami juga menyediakan kemudahan serta saluran untuk mempermudahkannya. Inilah apa yang kami maksudkan sebagai pembelajaran yang bertumpukan terhadap pelajar," katanya.

MASA PEMBELAJARAN FLEKSIBEL

Satu lagi ciri unik di OUM ialah peluang untuk menghadiri kelas atau belajar mengikut masa sendiri.

OUM faham akan keperluan warga dewasa yang bekerja, yang memaksa keutamaan tertentu diketepikan untuk memberi laluan bagi aktiviti lain.

"Ini kerana ada kalanya golongan dewasa yang bekerja perlu berehat dan menangani hal-hal yang mendesak terlebih dahulu. Tetapi kami menyediakan peluang kepada mereka untuk sambung dari tahap mana mereka berhenti, dan bukannya terpaksa bermula semula dari awal lagi," kata Repin.

Dengan mengambil kira perkara ini, apabila universiti lain memperuntuk empat tahun bagi ijazah sarjana muda, OUM membenarkan penuntutnya menyambung sehingga lapan tahun. Sementara itu, para penuntut ijazah sarjana boleh melengkapkan pengajian mereka dalam tempoh lima tahun.

Bagaimanapun, kata Repin, universiti ini mengambil berat akan tempoh penuntutnya menamatkan pengajian.

"Jadi jika anda ketinggalan kelas atau tugasan, atau jika anda mengambil cuti yang lama sedangkan anda hanya mempunyai satu sahaja kertas untuk dikemukakan, pihak universiti akan memanggil anda untuk mengetahui kemajuan anda dan mencari jalan bagaimana untuk membantu anda.

"Dan ini merupakan penekanan yang diberikan sejak hari pertama � pembelajaran bertumpukan pelajar, produk berkualiti serta perkhidmatan dan juga pada harga yang mampu. Yang kesemuanya merupakan sebahagian daripada faktor kejayaan kami," katanya.

-- BERNAMA@ Oleh Sakina Mohamed

By OM on 5/13/2010. Filed under . Follow any responses to the RSS 2.0. Leave a response

1 komen: