Amaran keras kepada guru ponteng: Muhyiddin

|


SRI AMAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran kepada para guru yang ponteng mengajar semata-mata ingin balik kampung masing-ma-sing lebih awal sebelum hujung minggu.

Menurut beliau, mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan disiplin kerana bercanggah dengan peraturan sekolah.

“Kami akan siasat aduan seumpama ini. Tapi tidak semua guru ponteng mengajar.

“Ini tidak patut dilakukan kerana bercanggah dengan peraturan kerja,” katanya dalam sidang media dalam majlis perasmian Prasekolah Rumah Panjang Kampung Sapak, Pantu dekat sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta ibu bapa yang mengetahui salah laku guru untuk melaporkan kepada pengurusan sekolah.

Masalah seumpama itu menurut beliau merupakan yang pertama beliau dengar apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan menyebut ketika berucap terdahulu.

Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran tidak akan mengambil mudah aduan sedemikian kerana ia membabitkan pelajaran anak-anak.

“Ini bukan wabak, pihak pengurusan sekolah boleh mengambil tindakan disiplin terhadap guru-guru yang ponteng mengajar,” katanya.

Terdahulu Snowdan berkata, ada segelintir guru sekolah di kawasan Balai Ringin kerap ponteng kerja.

“Ibu bapa ada mengadu guru-guru kerap ponteng mengajar kerana hen-dak pulang ke kampung masing-masing sebelum hujung minggu.

“Kadang-kadang ada yang meng-ajar cuma tiga dan empat hari se-minggu kerana hendak balik,” katanya.

Masalah itu menurut beliau akan menjejaskan proses pembelajaran murid dan pelajar sekolah.

Malah, keadaan itu ditambah dengan kekerapan guru bertukar kerana tidak tahan bekerja di pedalaman.

“Tempoh menanti guru baru untuk melapor diri kadang-kadang terlalu lama dan ini menjejaskan pelajaran anak-anak,” katanya.


Borneo Post
June 27, 2010, Sunday

By NEW MEDIA on 6/27/2010. Filed under . Follow any responses to the RSS 2.0. Leave a response

Tiada ulasan:

Leave a Reply